
Pengenalan Maahad Buuth Islamiah Al-Azhar As-Syariff
Semua Pelajar Akademi Huffaz As-Syariff yang mengikuti Duo Programme akan didaftarkan ke Maahad Buuth Al-Azhar As-Syariff

MA'AHAD BUUTH ISLAMIYYAH AL-AZHAR
Disebut dalam bahasa Arab dengan [معهد بعوث الأزهر] merupakan sebuah sekolah pengajian ilmu bertaraf antarabangsa yang dikelolakan oleh Dewan Senat, Universiti Al-Azhar. Sekolah ini bersifat "Sekolah Kebajikan" dengan erti pelajar hanya perlu menanggung kos pendaftaran dan buku rujukan sahaja. Manakala yuran lain dan gaji guru ditanggung sepenuhnya oleh Bahagian Kebajikan, Universiti Al-Azhar.
Ma'ahad Buuth Islamiyyah Al-Azhar ini terletak di Abbasiyyah, Kaherah, Mesir. Lokasinya lebih kurang 5 minit dari Universiti dan Masjid Al-Azhar (jika menaiki kenderaan). Selain itu, maahad juga berdekatan dengan Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah (DMAK) ataupun dikenali sebagai ARMA yang diurus sepenuhnya oleh pihak Kedutaan Malaysia.
Bagi permohonan masuk ke Maahad Buuth Islamiyah Al-Azhar, tiada syarat kelayakan yang dikhususkan oleh pihak Universiti Al-Azhar kepada para pelajar yang berminat untuk menyambung pengajian ke maahad tersebut tetapi perlu melepasi proses permohonan yang ditetapkan . proses ke Maahad Buuth Islamiyah Al-Azhar adalah seperti berikut :
1) Pemohon mestilah mengemukakan borang permohonan ke Maahad Buuth Islamiyah Al-Azhar.
2) Pemohon mestilah disahkan sihat oleh pihak hospital Kerajaan Mesir .
3) Pemohon mestilah mendapatkan sokongan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah .
Pihak dewan senat al-azhar akan bermesyuarat dan mempertimbangkan setiap permohonan yang dibuat oleh para pelajar yang berminat untuk menyambung pengajian ke Maahad Buuth Islamiyah Al-Azhar. Bagi nama pemohon yang berjaya akan dipamerkan di Mujamma’ Buhust Islamiyah (berdekatan dengan rumah kediaman perempuan Al-Azhar). Sekiranya diluluskan ahli Mesyuarat selepas tempoh pendaftaran (Oktober hingga Disember), para pelajar akan dimasukkan ke kelas pengajian sementara (Dirasah Khassah) mengikut tahap penilaian yang dijalankan semasa pemohon melapor diri ke Maahad Buuth Islamiyah Al-Azhar.
DIRASAH KHASSAH (KELAS PERSEDIAAN)
Kelas Persediaan sebelum ke Maahad Buuth tidak terikat dengan masa yang tertentu, mengikut kebolehan dan kecekapan seseorang pelajar dalam temuduga khas yang dijalankan oleh pihak Maahad. Peringkat perlajaran ini menetapkan agar para pelajarnya menghafal sekurang - kurangnya tiga (3) juzu' al Quran bermula Juz 28, 29 dan 30.
Peringkat Pengajian Dirassah Khassah terbahagi kepada tiga :
1. Mustawa Awwal
2. Mustawa Thani
3. Mustawa Thalith
Kebaikan memasuki Kelas pengajian Dirasah Khassah, anda akan diberikan peluang merasai gambaran pengajian di peringkat I'dadi sebelum memasuki peperiksaan Imtihan Qabul yang akan diadakan sekitar bulan September hingga Disember (tempoh pendaftaran bagi pelajar baru). Kebiasaannya, bagi pelajar yang sudah berpengalaman di peringkat ini akan mampu menjimatkan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun di peringkat I'dadi kerana akan diberikan peluang untuk menduduki peperiksaan tahdid mustawa (lompat kelas) ke peingkat yang lebih tinggi mengikut tahap kemampuan masing - masing.


Tempoh pengajian di peringkat ini tidak terikat dengan suatu tempoh yang ditetapkan bergantung kepada tarikh Ujian Kelayakan (imtihan qabul) ke Maahad Buuth Islamiyah Al-Azhar yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
I'DADI (TAHAP MENENGAH RENDAH)
Pengajian di peringkat ini sangat luas termasuk pembelajaran subjek akademik seperti Matematik, Geografi, Sains, Sejarah dan sebagainya. Bahasa pengantar pembelajaran menggunakan bahasa utama, Bahasa Arab. Oleh sebab itu, para pelajar (luar Mesir) yang memegang Sijil Pengajian Buuth akan diberikan peluang sambung pengajian ke peringkat Kuliyyah dengan pengkhususan yang lebih besar daripada pemegang sijil STAM atau sebagainya termasuk kejuruteraan dan sebagainya.
Peringkat Pengajian I'dadi terbahagi kepada tiga :
1. I'dadi Awwal
2. I'dadi Thani
3. I'dadi Thalith
THANAWI (TAHAP MENENGAH ATAS)
Pengajian di peringkat ini lebih khusus kepada mata pelajaran Ad Diniah (agama). Para pelajar didedahkan dengan asas pengajian di peringkat Universiti Al-Azhar. Kebiasaannya, para pelajar yang Berjaya melepasi peringkat Thanawi di Maahad Buuth Islamiyyah akan mampu menempa kejayaan di peringkat kuliyyah kerana mereka sudah biasa dengan mata pelajaran asasi dan memahami teknik pembelajaran bersama para masyayeikh Azhar.
Peringkat Pengajian Thanawi terbahagi kepada tiga :
1. Thanawi Awwal
2. Thanawi Thani
3. Thanawi Thalith
Para pelajar dari Malaysia sering dimomokkan dengan tempoh masa yang agak panjang ketika menuntut di Maahad Buuth Islamiyyah. Sebenarnya, para pelajar yang berkemampuan akan diberikan peluang untuk mengambil peperiksaan ekspress (tahdid mustawa) untuk lompat kelas sesuai dengan kebolehan, kemampuan dan penguasaan masing – masing.
Kebiasaannya, para pelajar dari Malaysia mengambil tempoh tiga (3) tahun paling lama dan ada juga yang setahun. Apa yang menarik, lepasan Maahad Buuth Islamiyyah DIKECUALIKAN daripada ujian kelayakan Universiti Al-Azhar (Imtihan Qabul), kelas persediaan (Markaz Lughah Arabiyyah, Azhar) serta boleh memohon ke Universiti Umm Qura, Mekah dan Universiti Islam Madinah.